Saturday, September 13, 2008

Thursday, August 28, 2008

Dari Permatang Pauh mahu ke mana?


Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi DSAI telah memperolehi kepercayaan rakyat untuk menjadi ahli parlimen Permatang Pauh dan Perdana Menteri insyaallah...


Seperti dijangkakan, kejijikan taktik dan strategi yang digunakan rejim Barisan Nasional ternyata gagal mempengaruhi rakyat Permatang Pauh apatah lagi menyekat reformasi politik negara.


DSAI bakal menjejakkan kakinya ke dalam parlimen setelah selesai mengangkat sumpah esok. Maka selepas ini kehebatan pidato DSAI akan dapat ditatap bukan sahaja di ceramah-ceramah perdana bahkan di dalam Parlimen.


Satu halangan kecil telah berjaya diharungi DSAI namun harus diingat halangan kecil ini telah dan akan membenihkan halangan-halangan yang lebih besar lagi.


Liwat bukannya isu, akta DNA bukannya isu, komisyen RM 60 juta Magnum bukannya isu, sumpah laknat bukannya isu hatta berdepan Najib, KJ dan Badawi di Parlimen juga bukanlah isu yang bakal mencabar DSAI. Ke mana hala tujunya DSAI selepas permatang pauh ?


Ke mana arahnya PR selepas ini?, DAP memperjuangkan Bangsa Malaysia manakala PAS dengan perjuangan Islamnya; dapatkah di adun persefahaman PAS, PKR dan DAP? tersalah adun natijahnya pakatan bakal terlerai dan BN akan terus bermaharajalela.


Penetapan pendirian parti dari konteks situasi menang-menang dalam menjalinkan kerjasama pakatan harus dibuat seawal mungkin. Pendirian bersama ini perlulah diterangan perinciannya kepada seluruh rakyat agar ianya jelas dan tidak lagi menjadi modal BN dalam melaga-lagakan ahli pakatan.


Berita baik untuk kerjasama PR menyusul apabila Karpal membuat laporan polis terhadap Utusan Malaysia yang mendakwa Karpal menolak Islam sebagai agama rasmi negara.

Semoga persefahaman dan kerjasama yang baik akan terjalin di dalam Pakatan Rakyat dan seterusnya menjamin sistem 2 parti akan dapat direalisasikan di Malaysia kelak.

Saturday, August 23, 2008

Harga minyak turun; bila si bebal mengurus ekonomi...

Al kisahnya pada June 2008 minyak telah dinaikkan sebanyak 41%, setelah mendapat tidur yang berlebihan si Penaik Minyak mendapat ilham untuk memberi rebet kepada rakyat kononnya sebagai langkah mengurangkan bebanan rakyat. Bila si bebal mengurus ekonomi...

Adapun rebet itu dapatlah dituntut setelah memperbaharui cukai jalan di Pos Malaysia milik si Anak Hantu.sesungguhnya rebet tersebut tiadalah mengurangi ia akan beban si rakyat jelata, malah tambahan terhimpit rakyat jelata akan kenaikan harga barang keperluan terutama makanan. Bila si bebal mengurus ekonomi...

Maka mengkajilah penulis akan kenaikan-kenaikan lain bersangkutan minyak, antara mengikut naik ialah si kadar inflasi negara. Seperti termaktubnya oleh Bank Negara si kadar inflasi hanya diparas 2.5% bagi tahun 2007, menaiklah ia setinggi 7.7% pada jun 2008 dan terkini pula khabarnya mencecah 8.5%. Bila si bebal mengurus ekonomi...

Sepurnama ini menyaksikan penyusutan harga minyak dunia, dari USD 140 kepada sekitar USD 125 setong. Maka dengan bangganya si Penaik Minyak mengumumkan harga baru petrol yang diturunkan hanya 5.6%, dicananglah ia disetiap peti tv dan surat khabar pengampu kerajaan si Penaik Minyak. Bila si bebal mengurus ekonomi...

Kenaikannya setinggi 41% dan penurunan pula hanya sedikit iaitu 5.6%, memang telah diduga kedunguan Penaik Minyak yang menggunakan jalan singkat dalam mengatasi masalah ini. Sekiranya harga minyak global turun dibawah USD 100 sekalipun adalah mustahil harga minyak diturunkan lagi memandangkan rebet telah diberi kepada rakyat dan anak hantu Penaik Minyak masih mahukan komisen dari rebet tersebut. Bila si bebal mengurus ekonomi...

Kesimpulannya minyak takkan turun sebanyak mana, inflasi akan meningkat atau kekal pada kadar 8.5%, anak hantu akan semakin kaya dan rakyat semakin merana...Bila si bebal mengurus ekonomi...

Friday, August 22, 2008

Terbaliknya Jalur Gemilang


Tindakan segelintir bloger yang mempamirkan Jalur Gemilang dalam kedudukan terbalik ke bawah telah mengundang pandangan dan amaran dari beberapa pihak termasuk Dollah Badawi.

Antara alasan yang diberikan terhadap perlakuan ini ialah ianya diterima masyarakat antarabangsa sebagai tanda atau isyarat kecemasan. Isyarat kecemasan sepatutnya ditafsir sebagai "keadaan (kecemasan) yang benar-benar mendatangkan bahaya atau ancaman kepada nyawa atau harta benda".

Bloger yang mengusulkan perkara ini ke atas Jalur Gemilang kemungkinan besar dipengaruhi oleh tafsiran demokrasi Amerika; rakyat Amerika memang telah lama menggantung terbalik bendera mereka. Sekumpulan rakyat Amerika telah membuat tafsiran yang tidak tepat terhadap "The Flag Code" dan menganggap tindakan mereka tepat dalam menjustifikasi keadaan kecemasan negara.

Namun penyalah ertian ini oleh rakyat Amerika ada asasnya kerana mereka memiliki akta bendera yang di luluskan kongress tahun 1976. Bagi rakyat Malaysia pula, tiada undang-undang khusus yang menyentuh tentang bendera melainkan "Akta 193; Akta Lambang Kebangsaan 1949". Akta ini menyentuh larangan mempamerkan Lambang Kebangsaan di tempat Awam yang membolehkan orang awam berada di atasnya (Lambang Kebangsaan).

Maka tidak sesuailah rakyat Malaysia mengguna pakai akta "The Flag Code" Amerika pada Jalur Gemilang yang mana akta itu biar apapun tafsirannya digubal kongress khusus merangkumi negara mereka sahaja dan bukannya seluruh dunia.

Namun begitu tiada tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik selagi ianya tidak menyebabkan orang awam berada di atasnya.

Sebagai rakyat Malaysia yang masih memiliki jati diri, saya menyeru para bloger yang mempamirkan Jalur Gemilang dalam kedudukan terbalik ke bawah menghentikan perbuatan mereka.

Jika mahu menggunakan "The Flag Code", gunakanlah ke atas Bendera Barisan Nasional kerana yang dalam kecemasan bukan negara tetapi Barisan Nasional.

*Penulis bukanlah seorang pengamal undang-undang, penulis mungkin tersilap dalam mentafsir fakta-fakta yang diguna pakai.

Thursday, August 21, 2008

MB Selangor;dari ladang babi ke kuota UiTM

Orang melayu memang terkenal dengan keunikkannya tersendiri, memiliki sifat seperti amuk dan latah yang tidak dimiliki bangsa lain. Kajian saintifik yang dijalankan gagal menjelaskan fenomena latah ini; si penyakat hanya perlu menyucuk bahagian badan si pelatah dan si pelatah akan menari atau menuruti apa sahaja yang disuruh si penyakat.Kesimpulannya melatah dan menyucuk memang tidak dapat dipisahkan; bermakna melayu bukan sahaja melatah malahan menyucuk.

Isu ladang babi di Hulu Langat dan kuota 10% UiTM kepada bukan bumiputera telah dimanipulasi oleh si penyucuk untuk menyucuk orang-orang melayu untuk melatah. Isu kuota ini telah mengundang siswa-siswi UiTM untuk berdemonstrasi lantas melacurkan AUKU kebanggaan kerajaan, tidak ketinggalan juga reaksi sampah pemimpin-pemimpin persatuan PRO kerajaan sehingga ada yang terang-terangan menggelar MB Selangor sebagai bangsat.

Apakah kaitan ladang babi berpusat di Hulu Langat dengan kuota 10% UiTM? kedua-duanya telah menjadi isu hangat apabila disentuh oleh MB selangor. Isu ini menjadi suam-suam kuku apabila umum mengetahui yang projek Penternakan Babi Negara (PBN) di Hulu Langat bermula hasil dari buah fikiran kerajaan yang terdahulu.

Begitu juga dengan Kuota 10% UiTM, umum dapat melihat bagaimana pengurusan UiTM melalui MPPnya memperalatkan para pelajar. Dimanakah AUKU yang diagungkan pengurusan IPTA selama ini atau mungkin ada penambahan akta baru yang membenarkan para pelajar berdemonstrasi secara terpimpin khusus untuk isu-isu yang melibatkan pembangkang?

Menurut Prof. Khoo Kay Kim, seramai 200 tempat di UiTM telah dibuka kepada bukan bumiputera sebelum ini. Kerajaan BN yang telah terlebih dahulu membuka kuota UiTM kepada bukan bumiputera tidak pula menerima impak seperti mana yang diterima Tan sri Khalid sedangkan ianya berbentuk pandangan dan cadangan.

Setiap kenyataan dari Tan Sri Khalid bukannya semberono, tentunya melalui justifikasi yang matang dan berasaskan fakta. Hanya mereka yang cetek pemikirannya akan melatah dan berlumba-lumba melontarkan hujah-hujah sampah tanpa fakta kononnya sebagai pembela nasib bangsa melayu.

Jika diteliti betul-betul isu penternakan babi berpusat dan kuota UiTM, maka kita akan dapati kedua isu tersebut bukannya isu baru tetapi isu lama yang cuba disembunyikan faktanya oleh pihak tertentu. Mungkin juga ini kaedah tersendiri Tan Sri Khalid dalam membuka mata rakyat terhadap keterpesongan kerajaan selama ini. Almaklum sahaja ketua pembangkang selangor sering menuduh kerajaan Selangor hari ini hanya tahu mencari salah,dengan menggunakan cara begini rakyat akan mengkaji dan menilai fakta-fakta yang ada.

Thursday, July 17, 2008

Kesan debat Shabery dan DSAI

Malaysia telah mengorak selangkah kehadapan bilamana pendekatan debat terbuka telah diguna pakai sebagai medium penerangan dan mencari jalan penyelesaian isu kenaikan harga minyak serta kesannya.

Dalam konteks politik, debat terbuka ini akan membabitkan pro dan kontra, pembangkang dan pencadang (Kerajaan), fakta dan retorik serta lain-lain perkara. Selain tuntutan kemahiran berpidato yang tinggi, pemahaman mendalam terhadap isu perdebatan dan buah fikiran yang terhasil di luar kotak amat diperlukan agar matlamat asal debat tercapai.

Mengulas debat antara Shabery dan DSAI kelmarin, memang tidak dapat disangkal lagi kenyataan bahawa ianya berjaya memberi kefahaman kepada rakyat banyak mengapa kenaikan harga minyak ini tidak dapat dielak oleh kerajaan.

Debat yang berlangsung melibatkan mantan Timbalan PM DSAI, Shabery selaku Menteri Penerangan, Pengerusi dan penonton. Shabery yang mewakili kerajaan dilihat langsung tidak dapat menandingi ketokohan DSAI, tiada fakta yang jelas disampaikan melainkan serangan peribadi ke atas DSAI sambil sesekali air liurnya tersembur dari mulutnya yang herot.

Pengerusi pula dilihat kebingungan dan sesekali melemparkan soalan atau pandangan yang kurang nilai akedemiknya.

Hal yang sama berlaku pada pengajukan soalan bagi pihak kerajaan, mungkin sukar membezakan antara soalan dan pandangan atau merasakan pandangannya lebih utuh dari apa yang cuba disampaikan Shabery.

Penonton pula kelihatan seperti sedang menyaksikan pertunjukkan silap mata atau sarkas, entah apa yang ditepuk tangankan mungkin mereka sendiripun tidak tahu. Terlalu janggal memikirkan ada yang bersuka-ria menyetujui kenaikan harga minyak, sepatutnya kerajaan tidak memberi rebet dan menjual harga petrol mengikut harga pasaran kepada golongan ini.

Secara keseluruhannya, kesan debat ini menyebelahi kerajaan. Rakyat telah mula faham dan sedar mengapa harga minyak dinaikkan begitu mendadak sekali. Mewakilkan Shabery untuk berdebat dengan DSAI telah membuka mata rakyat bahawa jika orang seperti ini lantik sebagai menteri, sudah tentu yang melantiknya lebih dahsyat lagi.

Dengan barisan menteri kabinet yang dungu dan dangkal adalah mustahil bagi mereka mencari alternatif untuk mengimbangi kenaikan harga minyak global. Strategi menyerang peribadi lawan menjadi senjata utama menidakkan penentangan, kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat bukan lagi keutamaan. Maka sudah terang lagi bersuluh barisan kepimpinan negara adalah penyumbang utama lonjakan harga minyak domestik, mereka tiada keupayaan mentadbir negara dengan cermat dan berhemat.

Wednesday, July 16, 2008

DSAI ditahan Polis

Pada hari ini jam 1.05 p.m, DSAI ditahan sepasukan 20 anggota polis dipercayai dari unit UTK. Kenderaan DSAI dipintas oleh 10 buah kenderaan polis ketika melewati kawasan kejiranan beliau, peristiwa ini mengulangi penahanan DSAI pada september 1998 berhubung isu serupa.

Sebelumnya DSAI menemui pihak BPR untuk memberikan keterangan mengenai aduan beliau terhadap Ketua Polis Negara Musa Hasan dan Peguam Negara Ghani Patail. DSAI yang sebelum ini tidak menghadirkan diri di IPK KL setelah diarah berbuat demikian oleh pihak polis pada isnin lalu, telah diberi kata dua untuk menghadirkan diri sebelum jam 2 petang hari ini atau ditangkap polis setelah waran tangkap dikeluarkan.

Penahanan DSAI yang dibuat pada jam 1.05 petang iaitu lebih awal dari masa yang diberikan dipersoalkan banyak pihak. Ramai berpendapat bahawa tiada keperluan bagi pihak polis menahan DSAI sebelum jangka waktu yang yang telah ditetapkan.

Persoalan utama sekarang adakah pihak polis akan melepaskan DSAI sesudah keterangan diambil atau memaksimumkan tempoh penahanan selama 48 jam sebelum mendapatkan perintah mahkamah untuk melanjutkan perintah tahanan reman tersebut untuk jangka waktu yang lebih lama.

Abdullah Badawi perlu mengotakan jaminan keselamatan yang telah diberikan kepada DSAI. Jika sedekat lalupun DSAI hampir separuh mati dengan kesan lebam di mata dan sakit belakang badan berpanjangan tentu sahaja keadaan lebih buruk boleh berlaku dengan kudrat DSAI yang mencecah 60an sekarang.

Buat rakyat Malaysia, marilah sama-sama kita berdoa untuk keselamatan DSAI dan memohon ditunjukkan kebenaran. Sesungguhkan doa orang yang teraniaya itu akan dimakbulkan Allah S.W.T.