Thursday, July 17, 2008

Kesan debat Shabery dan DSAI

Malaysia telah mengorak selangkah kehadapan bilamana pendekatan debat terbuka telah diguna pakai sebagai medium penerangan dan mencari jalan penyelesaian isu kenaikan harga minyak serta kesannya.

Dalam konteks politik, debat terbuka ini akan membabitkan pro dan kontra, pembangkang dan pencadang (Kerajaan), fakta dan retorik serta lain-lain perkara. Selain tuntutan kemahiran berpidato yang tinggi, pemahaman mendalam terhadap isu perdebatan dan buah fikiran yang terhasil di luar kotak amat diperlukan agar matlamat asal debat tercapai.

Mengulas debat antara Shabery dan DSAI kelmarin, memang tidak dapat disangkal lagi kenyataan bahawa ianya berjaya memberi kefahaman kepada rakyat banyak mengapa kenaikan harga minyak ini tidak dapat dielak oleh kerajaan.

Debat yang berlangsung melibatkan mantan Timbalan PM DSAI, Shabery selaku Menteri Penerangan, Pengerusi dan penonton. Shabery yang mewakili kerajaan dilihat langsung tidak dapat menandingi ketokohan DSAI, tiada fakta yang jelas disampaikan melainkan serangan peribadi ke atas DSAI sambil sesekali air liurnya tersembur dari mulutnya yang herot.

Pengerusi pula dilihat kebingungan dan sesekali melemparkan soalan atau pandangan yang kurang nilai akedemiknya.

Hal yang sama berlaku pada pengajukan soalan bagi pihak kerajaan, mungkin sukar membezakan antara soalan dan pandangan atau merasakan pandangannya lebih utuh dari apa yang cuba disampaikan Shabery.

Penonton pula kelihatan seperti sedang menyaksikan pertunjukkan silap mata atau sarkas, entah apa yang ditepuk tangankan mungkin mereka sendiripun tidak tahu. Terlalu janggal memikirkan ada yang bersuka-ria menyetujui kenaikan harga minyak, sepatutnya kerajaan tidak memberi rebet dan menjual harga petrol mengikut harga pasaran kepada golongan ini.

Secara keseluruhannya, kesan debat ini menyebelahi kerajaan. Rakyat telah mula faham dan sedar mengapa harga minyak dinaikkan begitu mendadak sekali. Mewakilkan Shabery untuk berdebat dengan DSAI telah membuka mata rakyat bahawa jika orang seperti ini lantik sebagai menteri, sudah tentu yang melantiknya lebih dahsyat lagi.

Dengan barisan menteri kabinet yang dungu dan dangkal adalah mustahil bagi mereka mencari alternatif untuk mengimbangi kenaikan harga minyak global. Strategi menyerang peribadi lawan menjadi senjata utama menidakkan penentangan, kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat bukan lagi keutamaan. Maka sudah terang lagi bersuluh barisan kepimpinan negara adalah penyumbang utama lonjakan harga minyak domestik, mereka tiada keupayaan mentadbir negara dengan cermat dan berhemat.

Wednesday, July 16, 2008

DSAI ditahan Polis

Pada hari ini jam 1.05 p.m, DSAI ditahan sepasukan 20 anggota polis dipercayai dari unit UTK. Kenderaan DSAI dipintas oleh 10 buah kenderaan polis ketika melewati kawasan kejiranan beliau, peristiwa ini mengulangi penahanan DSAI pada september 1998 berhubung isu serupa.

Sebelumnya DSAI menemui pihak BPR untuk memberikan keterangan mengenai aduan beliau terhadap Ketua Polis Negara Musa Hasan dan Peguam Negara Ghani Patail. DSAI yang sebelum ini tidak menghadirkan diri di IPK KL setelah diarah berbuat demikian oleh pihak polis pada isnin lalu, telah diberi kata dua untuk menghadirkan diri sebelum jam 2 petang hari ini atau ditangkap polis setelah waran tangkap dikeluarkan.

Penahanan DSAI yang dibuat pada jam 1.05 petang iaitu lebih awal dari masa yang diberikan dipersoalkan banyak pihak. Ramai berpendapat bahawa tiada keperluan bagi pihak polis menahan DSAI sebelum jangka waktu yang yang telah ditetapkan.

Persoalan utama sekarang adakah pihak polis akan melepaskan DSAI sesudah keterangan diambil atau memaksimumkan tempoh penahanan selama 48 jam sebelum mendapatkan perintah mahkamah untuk melanjutkan perintah tahanan reman tersebut untuk jangka waktu yang lebih lama.

Abdullah Badawi perlu mengotakan jaminan keselamatan yang telah diberikan kepada DSAI. Jika sedekat lalupun DSAI hampir separuh mati dengan kesan lebam di mata dan sakit belakang badan berpanjangan tentu sahaja keadaan lebih buruk boleh berlaku dengan kudrat DSAI yang mencecah 60an sekarang.

Buat rakyat Malaysia, marilah sama-sama kita berdoa untuk keselamatan DSAI dan memohon ditunjukkan kebenaran. Sesungguhkan doa orang yang teraniaya itu akan dimakbulkan Allah S.W.T.

Tuesday, July 15, 2008

Bola Sepak dan Politik Malaysia

Tidak dapat tidak, pertalian bola sepak Malaysia dan politik umpama irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Bolasepak Malaysia tidak terkecuali merasa tempiasnya apabila kerajaan negeri bertukar tangan, pertukaran pentadbiran mungkin sudah dijangkakan tetapi apa yang mendukacitakan ialah skrip lama masalah tunggakan gaji pemain.

Memang diakui semasa di bawah pentadbiran kerajaan BN isu ini boleh di anggap suatu kelaziman, namun agak mendukacitakan apabila perkara ini gagal ditangani oleh kerajaan negeri yang melaungkan slogan kebajikan rakyat.

Gaji pemain yang tertunggak mencecah 4 bulan adalah suatu penganiayaan, kereta tunggu ditarik dan rumah tunggu dilelong atau dihalau tuan rumah. Dimana kebajikan yang dilaungkan selama ini?

Lebih mendukacitakan apabila Timbalan Ketua Menteri P. Pinang selaku presiden FAP mengambil pendekatan mengutip derma untuk membiayai gaji pemain yang tertunggak. Memang tidak dapat disangkal Pakatan Rakyat amat sinonim dengan kutipan derma. Di mana sahaja ceramah diadakan di situ ada kutipan derma, sebaiknya pendekatan serupa ini tidak lagi digunakan dalam mentadbir 5 buah negeri.

Sepatutnya nasib mereka lebih terjamin di bawah kerajaan PR yang berkebajikan, suatu jalan penyelesaian perlu dicari bagi membela nasib mereka. Masalah tunggakan gaji ini menimbulkan suasana yang tidak sihat kepada bolasepak negara. Gejala rasuah akan bermaharajalela, bolasepak negara akan terus-terusan tergelincir di tangga kedudukan FIFA.

Jika penyelesaian total masalah tunggakan gaji ini menjadi kenyataan ditambah penerapan nilai jati diri, sekurang-kurangnya Malaysia punya 5 buah pasukan bolasepak negeri yang bebas rasuah.