Thursday, July 17, 2008

Kesan debat Shabery dan DSAI

Malaysia telah mengorak selangkah kehadapan bilamana pendekatan debat terbuka telah diguna pakai sebagai medium penerangan dan mencari jalan penyelesaian isu kenaikan harga minyak serta kesannya.

Dalam konteks politik, debat terbuka ini akan membabitkan pro dan kontra, pembangkang dan pencadang (Kerajaan), fakta dan retorik serta lain-lain perkara. Selain tuntutan kemahiran berpidato yang tinggi, pemahaman mendalam terhadap isu perdebatan dan buah fikiran yang terhasil di luar kotak amat diperlukan agar matlamat asal debat tercapai.

Mengulas debat antara Shabery dan DSAI kelmarin, memang tidak dapat disangkal lagi kenyataan bahawa ianya berjaya memberi kefahaman kepada rakyat banyak mengapa kenaikan harga minyak ini tidak dapat dielak oleh kerajaan.

Debat yang berlangsung melibatkan mantan Timbalan PM DSAI, Shabery selaku Menteri Penerangan, Pengerusi dan penonton. Shabery yang mewakili kerajaan dilihat langsung tidak dapat menandingi ketokohan DSAI, tiada fakta yang jelas disampaikan melainkan serangan peribadi ke atas DSAI sambil sesekali air liurnya tersembur dari mulutnya yang herot.

Pengerusi pula dilihat kebingungan dan sesekali melemparkan soalan atau pandangan yang kurang nilai akedemiknya.

Hal yang sama berlaku pada pengajukan soalan bagi pihak kerajaan, mungkin sukar membezakan antara soalan dan pandangan atau merasakan pandangannya lebih utuh dari apa yang cuba disampaikan Shabery.

Penonton pula kelihatan seperti sedang menyaksikan pertunjukkan silap mata atau sarkas, entah apa yang ditepuk tangankan mungkin mereka sendiripun tidak tahu. Terlalu janggal memikirkan ada yang bersuka-ria menyetujui kenaikan harga minyak, sepatutnya kerajaan tidak memberi rebet dan menjual harga petrol mengikut harga pasaran kepada golongan ini.

Secara keseluruhannya, kesan debat ini menyebelahi kerajaan. Rakyat telah mula faham dan sedar mengapa harga minyak dinaikkan begitu mendadak sekali. Mewakilkan Shabery untuk berdebat dengan DSAI telah membuka mata rakyat bahawa jika orang seperti ini lantik sebagai menteri, sudah tentu yang melantiknya lebih dahsyat lagi.

Dengan barisan menteri kabinet yang dungu dan dangkal adalah mustahil bagi mereka mencari alternatif untuk mengimbangi kenaikan harga minyak global. Strategi menyerang peribadi lawan menjadi senjata utama menidakkan penentangan, kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat bukan lagi keutamaan. Maka sudah terang lagi bersuluh barisan kepimpinan negara adalah penyumbang utama lonjakan harga minyak domestik, mereka tiada keupayaan mentadbir negara dengan cermat dan berhemat.

No comments: