Isu ini bukanlah begitu asing buat Politik Malaysia, ianya adalah suatu tradisi yang mewarnai negara kita sejak merdeka 50 tahun lampau. Gabungan parti-parti dalam PERIKATAN kemudiannya Barisan Nasional yang selesa mengekalkan pemerintahan sejak 1957, menyumbang proses peralihan kuasa yang diperlihatkan secara zahirnya telus dan lancar.
Kini isu ini timbul kembali diiringi seribu satu tanda-tanya, andaian dan kebarangkalian. Penulis sebenarnya hanya menyaksikan satu peralihan kuasa sahaja; dari Mahathir kepada Abdullah Badawi iaitu setelah 22 tahun Mahathir memegang tampuk kuasa. Mungkin antara persoalan yang timbul, betapa cepatnya isu ini dibangkitkan jika dibandingkan dengan usia pemerintahan Abdullah Badawi dan juga pencapaiannya.
Jika faktor pencapaian menjadi ukuran adalah mustahil bagi Abdullah Badawi untuk melaksanakan peralihan kuasa kepada timbalannya dalam jangka waktu terdekat. Bercakap mengenai jangka waktu pula, mustahil juga beliau dapat melakukan sesuatu yang dapat dibanggai dan dikenangi dalam sekelip mata. Maka dapat disimpulkan peralihan kuasa dalam waktu terdekat ini ternyata mudah diungkap tetapi sukar direalisasikan.
Namun begitu, peluang Abdullah Badawi untuk melengahkan peralihan kuasa sementara melakukan sesuatu yang membanggakan masih terbuka luas. Segala ilmu yang diperturunkan oleh Mahathir perlu digunakan, tempoh 4 tahun menjadi Timbalan Perdana Menteri sepatutnya sudah cukup bagi Abdullah Badawi untuk menguasai "Ilmu Memecat Timbalan". Ilmu ini telah terbukti kehebatannya dalam memastikan 'survival' Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO selama 22 tahun.
Generasi belia hari ini membesar di era pemerintahan Mahathir, pemerintahan yang tempohnya terlalu panjang ini bejaya menenggelami perjalanan politik era sebelumnya. Generasi hari ini yang terpesong fakta sejarahnya beranggapan seorang Perdana Menteri biasanya berkuasa 3 atau 4 penggal, barulah peralihan kuasa logik untuk dibicarakan. Proses peralihan kuasa juga mesti berlaku dalam suasana yang sesuai, ianya hanya boleh berlaku jika Perdana Menteri sendiri bersedia melepaskan jawatannya tanpa tekanan mana-mana pihak.
Sejarah politik negara mungkin atau seolah-olah sedang berulang. Mengimbau kembali peralihan kuasa mantan Perdana Menteri Malaysia, hanya Tunku melalui proses peralihan kuasa berbeza. Ianya berkait rapat dengan peristiwa 1969, MAGERAN dan penentangan 'Turki Muda(Mahathir dan Musa Hitam)' memaksa Tunku melepaskan jawatannya. Jelas sekali Mahathir mempunyai pengalaman luas dalam menjayakan peralihan kuasa; kemungkinan juga telah wujud jelmaan 'Turki Muda' alaf baru di dalam UMNO ketika ini.
Setelah melepaskan jawatannya, Tunku melalui akhbar miliknya 'The Star' kritis terhadap pentadbiran kerajaan sehingga membawa pengharaman akhbar tersebut dituruti penubuhan UMNO baru dan Semangat 46. Sungguhpun umum mengetahui pandangan Mahathir terhadap Tunku, perlakuan Mahathir akhir-akhir ini dilihat sinonim dengan apa yang telah dilakukan Tunku. Jika Tungku menggunakan 'The Star' Mahathir pula menggunakan 'Blog', kedua-duanya kritis terhadap kerajaan.
Titik tolak peralihan kuasa Tunku bermula kerana gagal mendapat 2/3 pada PRU 1969, PRU 2008 pula menunjukkan keputusan yang lebih merosot. Kemudian 13 Mei 1969 tercetus dan PRU diadakan semula pada tahun yang sama, di zaman Abdullah mungkin 16 September 2008 menyaksikan aksi lompat-melompat dan juga pilihanraya semula. Mahathir mungkin sedang menghasilkan sebuah lagi buku yang mirip dengan "Malay Dilemma" khas untuk Abdullah Badawi. Apakah peralihan kuasa Abdullah Badawi menyamai peralihan kuasa Tunku?
Monday, June 16, 2008
Subscribe to:
Comments (Atom)
