Friday, August 22, 2008

Terbaliknya Jalur Gemilang


Tindakan segelintir bloger yang mempamirkan Jalur Gemilang dalam kedudukan terbalik ke bawah telah mengundang pandangan dan amaran dari beberapa pihak termasuk Dollah Badawi.

Antara alasan yang diberikan terhadap perlakuan ini ialah ianya diterima masyarakat antarabangsa sebagai tanda atau isyarat kecemasan. Isyarat kecemasan sepatutnya ditafsir sebagai "keadaan (kecemasan) yang benar-benar mendatangkan bahaya atau ancaman kepada nyawa atau harta benda".

Bloger yang mengusulkan perkara ini ke atas Jalur Gemilang kemungkinan besar dipengaruhi oleh tafsiran demokrasi Amerika; rakyat Amerika memang telah lama menggantung terbalik bendera mereka. Sekumpulan rakyat Amerika telah membuat tafsiran yang tidak tepat terhadap "The Flag Code" dan menganggap tindakan mereka tepat dalam menjustifikasi keadaan kecemasan negara.

Namun penyalah ertian ini oleh rakyat Amerika ada asasnya kerana mereka memiliki akta bendera yang di luluskan kongress tahun 1976. Bagi rakyat Malaysia pula, tiada undang-undang khusus yang menyentuh tentang bendera melainkan "Akta 193; Akta Lambang Kebangsaan 1949". Akta ini menyentuh larangan mempamerkan Lambang Kebangsaan di tempat Awam yang membolehkan orang awam berada di atasnya (Lambang Kebangsaan).

Maka tidak sesuailah rakyat Malaysia mengguna pakai akta "The Flag Code" Amerika pada Jalur Gemilang yang mana akta itu biar apapun tafsirannya digubal kongress khusus merangkumi negara mereka sahaja dan bukannya seluruh dunia.

Namun begitu tiada tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik selagi ianya tidak menyebabkan orang awam berada di atasnya.

Sebagai rakyat Malaysia yang masih memiliki jati diri, saya menyeru para bloger yang mempamirkan Jalur Gemilang dalam kedudukan terbalik ke bawah menghentikan perbuatan mereka.

Jika mahu menggunakan "The Flag Code", gunakanlah ke atas Bendera Barisan Nasional kerana yang dalam kecemasan bukan negara tetapi Barisan Nasional.

*Penulis bukanlah seorang pengamal undang-undang, penulis mungkin tersilap dalam mentafsir fakta-fakta yang diguna pakai.

No comments: