Wednesday, July 9, 2008

PROTES!; Berjayanya suatu kegagalan

Perhimpunan bantahan kenaikan harga minyak atau PROTES! hujung minggu lalu bertukar menjadi acara karnival, penulis yang hadir pada sebelah pagi mengambil keputusan pulang dan hadir pada sebelah malamnya.

Dengan persembahan kugiran PUNK dan pembukaan gerai jualan barangan PROTES, tidak keterlaluan mengatakan penganjuran ini suatu kegagalan.

PROTES! yang dalam perancangan awalnya bakal menghimpunkan sejuta rakyat bertujuan menyuarakan bantahan kenaikan harga minyak dilihat telah jauh menyimpang dari matlamat asalnya, tertanya juga bagaimana perasaan mereka yang datang dari luar daerah dan negeri selangor menyaksikan penganjuran sedemikian rupa.

Berjaya atau tidak PROTES ini adalah sesuatu yang subjektif untuk diperkatakan. Sesetengah pendapat menyatakan bahawa kegagalan PROTES ini bertitik-tolak dari kejayaan kerajaan melalui agensi-agensinya menakut-nakutkan bukan sahaja peserta malahan penganjur PROTES sendiri.

Pertukaran tempat penganjuran beberapakali telah memberikan petunjuk betapa ianya akan menemui kegagalan atau tidak mencapai matlamat.

Pengisian merapu seperti persembahan konsert PUNK menimbul rasa kurang senang dan persoalan dikalangan peserta, agak memeranjatkan apabila Hishamudin Rais mengaku bertanggungjawab di atas kekecohan semasa konsert; setakat itu sahajakah idea yang mampu disumbangkan beliau setelah lama berkelana di negara orang?

Apa pula tujuan pembukaan gerai jualan barangan PROTES? mengumpul dana atau membuat untung? sepatutnya dibuka juga gerai menjual alatan penjimatan minyak kenderaan bersesuaian dengan tema penganjuran "kenaikan harga minyak", barulah benar-benar kelihatan seperti KARNIVAL PROTES!

Disaat DSAI menghadapi konspirasi buat kali ke-2 dan belum terjamin lagi untung nasib beliau, PROTES sepatutnya dijadikan gelanggang pemanas badan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.Kepada pihak penganjur saya ingin bertanya; jika peristiwa hitam 1998 berulang, adakah ini rupa bentuknya penganjuran bantahan mereka?