Thursday, August 21, 2008

MB Selangor;dari ladang babi ke kuota UiTM

Orang melayu memang terkenal dengan keunikkannya tersendiri, memiliki sifat seperti amuk dan latah yang tidak dimiliki bangsa lain. Kajian saintifik yang dijalankan gagal menjelaskan fenomena latah ini; si penyakat hanya perlu menyucuk bahagian badan si pelatah dan si pelatah akan menari atau menuruti apa sahaja yang disuruh si penyakat.Kesimpulannya melatah dan menyucuk memang tidak dapat dipisahkan; bermakna melayu bukan sahaja melatah malahan menyucuk.

Isu ladang babi di Hulu Langat dan kuota 10% UiTM kepada bukan bumiputera telah dimanipulasi oleh si penyucuk untuk menyucuk orang-orang melayu untuk melatah. Isu kuota ini telah mengundang siswa-siswi UiTM untuk berdemonstrasi lantas melacurkan AUKU kebanggaan kerajaan, tidak ketinggalan juga reaksi sampah pemimpin-pemimpin persatuan PRO kerajaan sehingga ada yang terang-terangan menggelar MB Selangor sebagai bangsat.

Apakah kaitan ladang babi berpusat di Hulu Langat dengan kuota 10% UiTM? kedua-duanya telah menjadi isu hangat apabila disentuh oleh MB selangor. Isu ini menjadi suam-suam kuku apabila umum mengetahui yang projek Penternakan Babi Negara (PBN) di Hulu Langat bermula hasil dari buah fikiran kerajaan yang terdahulu.

Begitu juga dengan Kuota 10% UiTM, umum dapat melihat bagaimana pengurusan UiTM melalui MPPnya memperalatkan para pelajar. Dimanakah AUKU yang diagungkan pengurusan IPTA selama ini atau mungkin ada penambahan akta baru yang membenarkan para pelajar berdemonstrasi secara terpimpin khusus untuk isu-isu yang melibatkan pembangkang?

Menurut Prof. Khoo Kay Kim, seramai 200 tempat di UiTM telah dibuka kepada bukan bumiputera sebelum ini. Kerajaan BN yang telah terlebih dahulu membuka kuota UiTM kepada bukan bumiputera tidak pula menerima impak seperti mana yang diterima Tan sri Khalid sedangkan ianya berbentuk pandangan dan cadangan.

Setiap kenyataan dari Tan Sri Khalid bukannya semberono, tentunya melalui justifikasi yang matang dan berasaskan fakta. Hanya mereka yang cetek pemikirannya akan melatah dan berlumba-lumba melontarkan hujah-hujah sampah tanpa fakta kononnya sebagai pembela nasib bangsa melayu.

Jika diteliti betul-betul isu penternakan babi berpusat dan kuota UiTM, maka kita akan dapati kedua isu tersebut bukannya isu baru tetapi isu lama yang cuba disembunyikan faktanya oleh pihak tertentu. Mungkin juga ini kaedah tersendiri Tan Sri Khalid dalam membuka mata rakyat terhadap keterpesongan kerajaan selama ini. Almaklum sahaja ketua pembangkang selangor sering menuduh kerajaan Selangor hari ini hanya tahu mencari salah,dengan menggunakan cara begini rakyat akan mengkaji dan menilai fakta-fakta yang ada.

No comments: