Wednesday, May 14, 2008

Kisah si Ibu Tua

11 Mei lalu genaplah 62 tahun penubuhan UMNO. Sambutan yang dilihat tidak semeriah seperti sebelumnya, almaklumlah angkanya sahaja sudah menjangkau 62 tahun. Rasanya tak ramai orang melayu yang berumur 62 tahun mahu merayakan hari kelahiran mereka semeriah mereka yang berumur 26 tahun. Keputusan PRU-12 dan kenaikan harga barang antara faktor penyumbang ketidak meriahannya perayaan hari lahir tersebut.

Tatkala umur menjangkau 60an, seseorang itu sudah pasti matang dalam segala segi. Biasanya mereka akan menumpukan rutin harian kepada mengerjakan ibadah dan meluangkan masa untuk anak dan cucu. Sudah terbit kesedaran yang mereka akan dijemput Illahi pada bila-bila masa sahaja, jesteru itu melengkapkan diri dengan bekalan yang cukup untuk di bawa ke sana menjadi keutamaan. Itu kebiasaannya, tapi tak kurang juga mereka-mereka yang luar dari kebiasaan atau dengan kata lain mereka ini luar biasa. Sisa-sisa perjalanan hidup di habiskan dengan melepak, di bandar atau kampung sama sahaja bezanya kedai kopi di kampung dan rumah kopi (Coffee House) atau rumah kelab (Club House) di bandar. Lebih dahsyat lagi jika kita tinjau premis nombor ramalan atau kelab-kelab dangdut.

Berbalik kepada sambutan ke-62 tahun UMNO, secara kebetulan tarikhnya sama dengan sambutan hari ibu sedunia tahun 2008.Jika sebelumnya UMNO ialah pejuang kemerdekaan, pejuang bangsa melayu kemudian mendakwa, UMNO sebagai tunjang BN adalah satu-satunya parti yang boleh memerintah dan kini UMNO juga mahu masyarakat melayu menganggap parti itu sebagai ibu mereka. Seorang ibu tua(UMNO) yang telah menghabiskan usianya bersusah-payah memelihara anak-anaknya(masyarakat melayu) demi masa depan yang lebih Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Kononnya setelah 62 tahun memerah keringat, menghadapi pelbagai pahit maung kehidupan akhirnya anak yang ditatang bagai minyak yang penuh itu tidak lagi mengenang jasa ibu, telah membuang ibunya sendiri. Mantan ketua ibu tua ini juga pernah mendakwa bahawa anak-anaknya mudah lupa. Apa lagi yang mampu dilakukan oleh ibu tua ini sekarang? tiada lain dari terus-terusan memanggil si anak supaya kembali kedakapannya disamping saban waktu mengingatkan si anak tentang jasa dan pengorbanan si ibu tua.

Sedih juga plot cerita si ibu tua ini. Namun cerita hanya tetap cerita, sejauh mana ia dapat mempengaruhi penontonnya terserah kepada kreativiti pengarah dan tidak ketinggalan kebijaksanaan penonton itu sendiri. Mungkin kita pernah mengalami situasi di mana sedang kita benar-benar menghayati babak kematian hero atau heroin dalam sesebuah cerita dan berkata "cepatnya si anu ni mati?, tak adillah macam ni!" kedengaran satu suara berkata, "dah pengarah dia arah macam tu, macam tulah!".

Ada juga pendapat sinis tentang cerita ibu tua ini. Jika UMNO mahu dianggap sebagai ibu siapa pula si bapa? atau UMNO juga mahu dianggap sebagai bapa kepada masyarakat melayu apabila tiba hari bapa pada minggu ketiga bulan Jun nanti? Jika UMNOlah ibu UMNOlah bapa kepada masyarakat melayu bolehlah UMNO dianggap sebagai ibu tunggal. Mujur juga parti komponen lain di dalam BN tidak berkongsi tarikh penubuhan yang sama, cuba bayangkan jika penubuhan MCA dan MIC juga pada tarikh serupa dan mereka juga mahu dianggap sebagai ibu juga bapa kepada masyarakat cina dan india di Malaysia tentu sahaja BN boleh dianggap sebagai Parti Ibu-Ibu Tunggal Masyarakat Malaysia...

1 comment:

Anonymous said...

oiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii You takde kerja lainkeeee