Monday, May 26, 2008

Kerajaan Baru V.S. Kerajaan Bayangan

"Meniti Harapan, Menanti Perubahan" demikian tajuk cetusan Mantan MB Selangor di dalam blognya. Komen beliau berkisar persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor yang telah diadakan minggu lepas. Menurutnya sidang dewan tersebut gagal membincangkan perancangan kerajaan negeri untuk pembangunan negeri selangor, jesteru membangkitkan kekecewaan rakyat.

Selepas hampir tiga bulan katanya, perancangan yang hendak dilakukan oleh kerajaan negeri yang baru masih belum jelas. Sungguhpun begitu, beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri yang baru kerana meneruskan pembangunan yang dirancangkan oleh kerajaan terdahulu. Beliau telah menyifatkan kerajaan baru selangor sebagai "looking forward" iaitu mengharapkan sesuatu perkara berbanding "forward looking" iaitu merancang untuk masa depan.

Mantan MB ini mendakwa, kerajaan negeri yang baru telah memilih untuk mengkritik kerajaan negeri sebelumnya; mengungkit pelbagai keputusan dan tindakan yang diputuskan seolah-olah mencari kesalahan kerajaan terdahulu kerana ingin menutup kegagalan kerajaan negeri yang baru melaksanakan banyak janji-janji dalam manifestonya.

Dakwa beliau lagi, selepas tiga bulan membentuk kerajaan, pemimpin-pemimpin PKR, PAS dan DAP masih gagal menukar mentaliti dari pembangkang kepada kerajaan?

Mungkin apa yang cuba disampaikan beliau ada benar dan ada juga sebaliknya. Saya lebih tertarik untuk mengulas dakwaan Mantan MB ini yang kerajaan PR gagal menukar mentaliti kepada mentaliti kerajaan, saya tertanya-tanya adakah kerajaan bayangan Mantan MB ini sudah berjaya menukar mentaliti mereka dari kerajaan kepada pembangkang?

Jika diteliti coretan beliau, tak ubah seperti mentaliti seorang wakil kerajaan negeri. Beliau telah menyatakan bahawa rakyat berasa kecewa kerana mengharapkan sidang dewan membincangkan pembangunan negeri. Bagaimana beliau tahu rakyat kecewa? beliau menggambarkan seolah-olah masih mewakili majoriti suara rakyat sedangkan hakikatnya hanya mewakili mainoriti sahaja.

Mantan MB ini juga dilaporkan telah bangun dan menjawab isu peruntukan DUN yang habis dalam masa 2 bulan ketika MB selangor sedang membahaskannya. Sebagai ketua pembangkang beliau sepatutnya lebih arif tentang peraturan dewan, tidak ada salahnya untuk beliau bangun untuk mencelah tetapi beliau seharusnya mengemuka soalan bukannya menjawab soalan seolah-olah beliau masih seorang MB.

Dakwaan beliau tentang "looking forward" dan "forward looking" jelas menunjukkan seolah-olah hanya kerajaan terdahulu sahaja yang tahu mentadbir negeri, hanya beliau sebagai mantan MB sahaja yang tahu cara membangunkan negeri manakala kerajaan negeri selangor hari ni semuanya haprak! tak sekolah tinggi! tak boleh mentadbir negeri! semuanya "Looking Foward" nasib baik tak "looking backward".

Tidak perlulah manifesto PR dijadikan isu, rata-rata rakyat yang memangkah PR pada PRU-12 telah memahami manifesto tersebut yang mana kaedah dan perlaksanaannya bergantung kepada kekangan bidang kuasa disamping faktor-faktor lain.

Suka atau tidak mantan MB ini harus menerima hakikat yang Selangor akan ditadbir kerajaan PR sekurang-kurangnya 4 tahun lagi. Jika benar-benar ikhlas tentang pembangunan negeri, mengapa tidak kerajaan bayangan ini menyediakan perancangan pembangunan mereka sendiri dan memanjangkannya kepada MB Selangor? kalau benar-benar ikhlas tidak perlu melabelkan ini idea pembangunan dari kerajaan ini idea pembangkang, tak perlu menunggu sahaja peluang untuk menghentam perancangan kerajaan baru tapi sumbangkanlah segala yang termampu untuk kesejahteraan negeri dan rakyat.

Dan yang paling penting perlu diingatkan kepada kerajaan bayangan ini ialah rakyat telah berikan 50 tahun kepercayaan kepada kerajaan terdahulu untuk mentadbir. Mereka telah mengambil masa 50 tahun untuk menjadikan Selangor seperti hari ini, jesteru adalah wajar rakyat memberikan peluang yang munasabah untuk kerajaan baru ini. Mencari salah kerajaan terdahulu oleh kerajaan hari ini jika dilihat secara positif adalah langkah permulaan yang sangat baik. Kerajaan baru boleh mengingatkan diri sendiri supaya tidak mengikut jejak kerajaan terdahulu disamping rakyat jelata terdedah dengan segala jenis taktik dan teknik penyalahgunaan kuasa serta urustadbir yang lemah, jesteru rakyat tidak mudah terpengaruh atau diperbodoh-bodohkan lagi oleh wakil yang mereka pilih. Biarlah makanisme timbang-tara kerajaan baru dibuat rakyat, tidak perlu ada pihak yang cuba mempengaruhi atau menyelewengkan fakta. Semoga Allah memberkati kerajaan baru ini dan usaha mereka dalam memakmur negeri dan rakyat serta dijauhkan mereka dari segala bentuk kemungkaran dalam pentadbiran mereka. Amin...

No comments: