Makanan ruji masyarakat Asia amnya dan Malaysia secara khususnya. Harganya kini melambung tinggi hingga mencapai peningkatan RM 10. Keluhan kedengaran di sana-sini betapa kenaikan harga beras begitu membebankan rakyat. Didahului kenaikan barangan asas lain seperti gula, minyak, tepung, makanan berasaskan tepung dan kini beras, rakyat jelas semakin terhimpit. Jelas sekali janji kerajaan pusat yang harga minyak tidak akan naik selepas pilihan raya berjaya ditunaikan dan menggantikannya dengan kenaikan harga barangan asas lain.
Kedengaran pula suara-suara sumbang menyatakan "cuba makanan alternatif lain seperti ubi kayu dan keledek". Dalam pada memalu gendang, mencanangkan pada rakyat jelata bahawa merekalah pejuang bangsa yang telah memperjuangkan kemerdekaan, mempertahankan kemerdekaan lebih dari 50 tahun kini rakyat disaran kembali kepada cara hidup di era penjajahan Jepun. Sudah puas mak bapak, atuk nenek kita berjuang demi kemerdekaan, melawan penjajah untuk memastikan anak cucunya tidak lagi menjadi hamba dan merempat di bumi sendiri, tidak perlu makan ubi kayu lagi, tapi nampaknya kita masih lemah menguruskan bumi merdeka ini.
Ada pula cerdik pandai mengusulkan penurunan harga tol untuk mengimbangi kenaikan harga beras, apa relevannya? Jika harga tol dinaikkan sekalipun, rakyat masih boleh memilih laluan lain tanpa menggunakan tol untuk sampai ke destinasi tapi menafikan beras sebagai makan ruji ekoran harga beras melambung tinggi dilihat agak keterlaluan. Jelas sekali saranan-saranan ini dibuat oleh mereka yang sebenarnya langsung tidak terjejas dengan keadaan ini. Harta yang melimpah-ruah bukan sahaja memastikan temolok mereka bahkan keturunan-keturunan mereka akan sentiasa diisi dengan makan yang bergred A dan mewah.
Sungguhpun mereka tidak merasai keperitan yang ditanggung oleh rakyat jelata, perkara ini perlu diambil perhatian sewajarnya. Makan adalah senjata utama sesebuah negara, sebuah negara akan lumpuh jika menghadapi kegawatan makanan. Keadaan ini telah menampakkan betapa lemahnya negara kita. Sesiapa yang berkepentingan untuk menyerang negara kita tidak perlu lagi memikirkan jumlah bala tentera, senjata dan kelengkapan perang, cukup sekadar mengancam dari segi bekalan makanan. Hentikanlah koridor sana dan koridor sini, tumpukan kepada kesejahteraan rakyat dahulu. Tidak mengapa pembangunan lewat sedikit dari rakyat terus-terusan merasa terhimpit dari hari ke hari...
Tuesday, May 13, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment