Berani sungguh Karpal mempersoalkan bidang kuasa sultan. Tindakannya mempertikai perutusan Yang DiPertuan Agung dan titah Sultan Perak berkaitan isu Pengarah JaiP mencetuskan kontroversi. Sembilan laporan polis dibuat di negeri-negeri berasingan seluruh negara. Ramai juga yang melabelkannya sebagai penderhaka dan akhirnya Karpal memberi keterangan kepada pihak berwajib. Siapakah Karpal untuk mempersoalkan keputusan istana? apa perlu untuk Karpal mengeluarkan kenyataan yang tiada kepentingan baginya terutama apabila membabitkan isu Pengarah Jaip sedangkan umum mengetahui pendirian Karpal terhadap Malaysia sebagai negara Islam.
Berbalik isu derhakanya Karpal, memaku dulang pakunya serpih. Tindakan pihak-pihak yang membangkitkan isu derhakanya si Karpal ini seolah-olah meludah ke langit akhirnya jatuh ke muka sendiri. Jangkamasa 2 bulan tidak terlalu panjang untuk rakyat melupakan bagaimana sekelompok manusia yang menggelarkan diri mereka pembela bangsa melayu, sentiasa mendaulatkan raja-raja melayu, mereka dengan megah menjinjing kain rentang menghina institusi istana. Pada ketika itu, siapakah yang tampil membuat laporan polis? berapakah jumlah laporan polis yang dibuat untuk penghinaan ini? adakah mana-mana suara kedengaran meminta kerakyatan si pelaku ini ditarik?
Karpal bukan seorang melayu, jesteru ketaatannya pada sultan dan raja mungkin tidak setara orang melayu. Pun begitu perlakukan derhaka Karpal baru-baru ini masih tidak ada tolok bandingnya dengan derhakanya melayu kita di Terengganu. Kalau kenyataan Karpal disifatkan derhaka, kerakyatannya harus tarik balik apa pula perkataan yang sesuai? apa pula hukuman yang sesuai? untuk mereka yang mencaci institusi istana dengan kata-kata yang mengkin tak tergamak diungkapkan oleh bukan melayu sekalipun.
Kalau adapun bangsa lain menderhaka dan tidak menghormati sultan, orang melayu sendiri yang harus dipersalahkan. Derhakanya orang melayu pada sultannya sendiri memberi perspektif yang negatif kepada bangsa lain.
Kepada Karpal, tidak perlulah menyentuh perkara yang anda tiada kepentingan. Soal agama Islam dan kesultanan raja-raja melayu serahkan sahaja pada rakan PR yang lebih berhak. Anda juga ada negeri sendiri yang perlu dijaga, banyak lagi masalah penduduk P.Pinang yang boleh anda ketengahkan.
Buat pihak yang memainkan isu ini, ketahuilah rakyat bukannya bodoh. Pihak istana sendiri tidak mahu isu ini berpanjangan kerana akan memecah belahkan rakyat. Kalau masih ada hukuman pancung untuk penderhaka sultan, mungkin banyak orang melayu yang dah hilang kepala. Sekarang rakyat hanya fokus menilai kemampuan kerajaan negeri pimpinan PR, tiada masa melayan isu-isu yang sengaja diperbesar-besarkan seperti ini. Tumpukan sahaja kepada pentadbiran pusat untuk menangani isu kenaikan harga barang kerana jika gagal akan hanya menerbitkan kekesalan kepada pengundi-pengundi anda 8hb Mac lalu....
Monday, May 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment